Manifestasi Semangat Patriotik Rakyat

Foto Berita Harian

PUTRAJAYA: Kelancaran penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini jelas menterjemahkan semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata beliau berbangga dengan kejayaan penganjuran kali ini yang berjalan lancar hasil perancangan rapi semua pihak.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan jumlah kehadiran berdasarkan data kita peroleh daripada Perbadanan Putrajaya (PPj) adalah lebih daripada 100,000 orang.

“Berbeza pada tahun ini, kita juga menyediakan pelbagai acara sisipan bagi mereka yang hadir termasuk program Riuh Merdeka yang diadakan sejak semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut meluangkan masa menyantuni pasukan Teres Grafik Manusia terdiri daripada pelajar sekolah pelbagai peringkat.