
PUTRAJAYA: Malaysia mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Deklarasi New York sebagai tanda solidariti bersama Palestin dan sokongan terhadap usaha menzahirkan penyelesaian dua negara.
Ia tanda solidariti Malaysia bersama Palestin dan sokongan terhadap usaha menzahirkan penyelesaian dua negara.
Resolusi itu diterima pakai dengan majoriti besar, membabitkan 142 undi daripada negara anggota PBB semalam.
Dalam Kenyataan Negara selepas pengundian, Malaysia menegaskan penyelesaian dua negara mesti dizahirkan tanpa sebarang prasyarat.
Ia berlandaskan persempadanan pra 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
“Malaysia tetap berpegang bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin serta hak pulang jutaan pelarian yang dijamin undang-undang antarabangsa perlu menjadi sebahagian penyelesaian,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra awal pagi tadi.