
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia komited untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dan berdiri teguh bersama Türki dalam mempertahankan hak serta maruah mereka.
Dalam perbualan telefon dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Anwar menyatakan penghargaan kepada pemimpin itu atas suara dan pendirian teguh yang konsisten dalam memperjuangkan hak warga Palestin yang tertindas.
“Kami sepakat bahawa saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza, kita tidak boleh berpeluk tubuh.
“Malaysia menyambut baik dan mendokong penuh pendirian Presiden Erdogan itu dalam menggunakan segala wahana dan keupayaan bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook.