
KUALA LUMPUR: Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di Malaysia sejak 1990-an menurun susulan perubahan dasar yang memberi keutamaan kepada Bahasa Melayu di sekolah, kata Pengerusi English Speaking Union of Malaysia (ESUM), Tunku Dara Naquiah Tuanku Jaafar.
Menurutnya, kita mesti memperkukuh bahasa kebangsaan namun pada masa yang sama kita tidak boleh abaikan Bahasa Inggeris untuk berdiri setaraf di peringkat global dalam bidang ekonomi dan sains.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris di luar negara, namun lebih banyak usaha perlu digerakkan di peringkat pendidikan.
“Di England, pelajar wajib belajar tiga Bahasa termasuk Bahasa Inggeris dan satu bahasa asing. Kita wajar menimbangkan pendekatan serupa supaya rakyat dapat bersaing dengan lebih berkesan di peringkat global,” katanya.
Ke arah itu, ESUM buat kali pertama menjadi tuan rumah Meysuarat Majlis Antarabangsa yang menghimpunkan wakil 10 negara guna membincng usaha memperkukuh fungsi Bahasa Inggeris sebagai bahasa global.
Mesyuarat itu akan berlangsung 29 September hingga 2 Oktober dan dijadual menjadi platform perkongsian idea dan ilmu dalam mempromosi Bahasa Inggeris sebagai bahasa sejagat, khususnya di kalangan generasi muda.