Malaysia, Singapura Perkukuh Kerjasama Pendidikan — Fadhlina

Foto : Bernama

KUALA LUMPUR — Malaysia dan Singapura komited memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan bagi membuka lebih banyak peluang kepada murid serta guru kedua-dua negara, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek. Menerusi hantaran Facebook hari ini, beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari republik itu, Desmond Lee.

Fadhlina berkata perbincangan tersebut antara lain menumpukan usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid menerusi Malaysia-Singapore English Volunteers Programme (MSEVP). “Kami turut membincangkan program pertukaran guru Bahasa Melayu untuk berkongsi pengalaman serta kaedah pengajaran,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu turut merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan, termasuk perkongsian pengalaman Malaysia menerusi platform pembelajaran digital Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

Selain itu, kedua-dua pihak berhasrat memperluas program jaringan sekolah bagi memberi ruang kepada murid mengenali kepelbagaian budaya serta belajar bersama rakan sebaya dari negara jiran. Fadhlina berkata setiap negara mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang pendidikan yang boleh dikongsi dan dipelajari bersama. “Paling penting, kerjasama ini mesti membawa manfaat kepada guru dan murid,” katanya.

Sumber : Bernama