Malaysia sesuai loji nuklear

Malaysia adalah pilihan terbaik dan paling sesuai untuk menempatkan loji tenaga nuklear disebabkan ia kurang terdedah kepada aktiviti tektonik seperti gempa bumi berbanding negara jiran di Asia Tenggara, kata Pengarah Climate Governance Malaysia, Gary Theseira.

Pakar iklim itu berkata, Indonesia dan Filipina sudah menyatakan hasrat untuk meneroka penjanaan tenaga nuklear meskipun berada di kawasan tidak stabil geo-tektonik dan berhadapan risiko gempa bumi dan tsunami yang tinggi.

Katanya, adalah lebih logik untuk menempatkan loji janakuasa nuklear di bahagian yang aktiviti tektoniknya kurang aktif seperti Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di Forum Ekonomi Dunia Davos awal tahun ini Malaysia tidak berda dalam keperluan mendesak untuk menggunakan tenaga nuklear kerana masih melihat banyak potensi dalam tenaga solar dan Grid Kuasa Asean.

Begitupun, beliau tidak menolak kemungkinan meneroka penggunaan tenaga nuklear, terutama dengan perancangan pusat data besar Malaysia.