Malaysia Perkukuh SOP Bencana Angkasa, Latihan Penuh Awal 2027

foto : BERNAMA

KUALA LUMPUR – Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi potensi insiden kejatuhan objek angkasa termasuk serpihan satelit atau roket ke bumi, menerusi latihan simulasi dan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) bencana. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata usaha itu merangkumi pelaksanaan Latihan Amal Kemalangan Angkasa (X-LAKA) yang menjadi medan ujian bagi mengukur keupayaan tindak balas negara sekiranya berlaku insiden sedemikian.

“Kementerian telah melaksanakan X-LAKA Fasa 1 pada 26 dan 27 Nov 2025, manakala Fasa 2 dengan senario yang lebih kompleks dijalankan pada 1 Okt lepas. Latihan amal penuh (FTX) pula dijangka diadakan pada awal 2027,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pada sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini. Beliau berkata hasil penilaian dan penemuan daripada keseluruhan latihan itu akan digunakan bagi menambah baik Peraturan Tetap Operasi (PTO) Bencana Angkasa 4.0, selain memastikan semua agensi berkaitan mempunyai prosedur yang lebih jelas dan terselaras.

Chang berkata Dokumen Siasatan Versi 3.0 yang memperincikan proses kerja siasatan penemuan objek disyaki objek angkasa turut dikemas kini berdasarkan pengalaman sebenar Bahagian Penerokaan Angkasa (BPI) di lapangan. Penyelarasan turut diperkukuh apabila mesyuarat pada 28 Januari tahun ini memasukkan insiden kemalangan angkasa secara rasmi di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (NADMA) No. 1. “Oleh itu, mangsa yang terkesan layak menerima bantuan kewangan sosial NADMA, manakala kos operasi ditanggung oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah BPI Angkasa,” katanya, sambil menambah MOSTI merancang mewujudkan Akaun Amanah Kebangsaan bagi tujuan pemulihan persekitaran jika berlaku kejadian yang memerlukan tindakan pemulihan.

Selain aspek tindak balas bencana, beliau berkata penyelarasan pengurusan ruang udara turut diberi perhatian dengan penyertaan BPI Angkasa dalam Jawatankuasa Industri Bersama Ruang Udara (JIB RUA) dan Jawatankuasa Teknikal Ruang Udara (JT RUA) anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). “Hal ini adalah untuk mengurus trafik segmen udara-angkasa dan pelepasan pelancaran, serta (BPI Angkasa) sedang dipertimbangkan untuk menjadi ahli tetap,” katanya.

Sumber : Bernama