
Malaysia mencatat pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kerjasama ekonomi serantau apabila berjaya memimpin perbincangan strategik dalam Sidang Puncak Asean-GCC-China, baru-baru lalu.
Pemimpin dari Asia Tenggara, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China berhimpun di sidang itu, menandakan permulaan pembentukan satu rangka perdagangan tiga hala yang mampan, berdaya tahan, dengan potensi mengubah lanskap ekonomi rantau ini.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah, berkata sidang ini menunjukkan usaha untuk membina kerjasama perdagangan yang lebih tersusun dan menyeluruh.
Selain itu, Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 berada dalam kedudukan baik untuk membantu menyelaraskan tiga rundingan penting yang sedang dijalankan iaitu menaik taraf Perjanjian Bebas Asean-China, Perjanjian perdagangan bebas Asean-GCC dan perjanjian di antara China dan GCC, katanya.