
PUTRAJAYA: Kemiskinan tegar di Malaysia bakal dinoktahkan hasil pelaksanaan dasar dan program berfokus rakyat bawah pentadbiran kerajaan Madani, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata ketika ini, kadar kemiskinan tegar negara hanya tinggal 0.09 peratus, dan ini mencerminkan keberkesanan program bersifat inklusif dan menyeluruh yang dijalankan kerajaan, bagi memastikan tiada rakyat yang terpinggir dalam pembangunan negara.
Beliau berkata, semua program yang dilaksanakan seperti Kampung Angkat, Sekolah Angkat dan Sejati Madani, dipantau Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kabinet bagi memastikan tiada kelompok masyarakat di negara ini yang tersisih atau ketinggalan.
“Malaysia diiktiraf dunia dari sudut kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar. Tidak (seperti) Amerika Syarikat, negara-negara Eropah yang masih tinggi jumlah rakyatnya terlantar di pinggir jalan.
“Malaysia bersyukur kerana kemiskinan tegar kini tinggal 0.09 peratus saja,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku, di Dataran Putrajaya.