
KUALA LUMPUR: Malaysia terus diiktiraf sebagai hab kewangan Islam global yang diyakini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kepercayaan itu membolehkan pelabur mendapatkan kestabilan, kejelasan serta peluang, turut menjadi paparan nilai asas etika negara dalam sektor berkenaan.
Anwar berkata, Malaysia juga terbukti telah membangunkan kapasiti kukuh dalam sektor takaful selain menerimaguna teknologi kewangan (fintech) dan platform digital bagi zakat dan wakaf yang menghubungkan tradisi dengan teknologi moden.
“Dunia mencari sistem kewangan yang bukan setakat mampu memberi keuntungan, tetapi juga bermatlamat. Kita harus bekerjasama untuk memperkasa kalangan komuniti dengan memastikan penyelesaian kewangan ini dapat membantu meningkatkan (kehidupan) kalangan yang memerlukan.
“Kita juga perlu melonjakkan lagi perniagaan beretika dan bertanggungjawab menerusi kerjasama rentas sempadan, inovasi dan kemakmuran bersama,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Forum Kewangan Islam Global 2025 di sini, semalam.