Anwar Ibrahim: Malaysia diminta negara Arab jadi orang tengah dengan Iran

Foto Bernama

IPOH: Beberapa negara Teluk mahu Malaysia menjadi orang tengah bagi menyampaikan permintaan kepada Iran untuk meredakan ketegangan yang semakin meruncing di Asia Barat.

Langkah itu diambil susulan hubungan baik Malaysia dengan kedua-dua pihak termasuk Iran serta negara-negara Arab, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, beberapa pemimpin negara Arab telah menghubunginya dan meminta Malaysia menyampaikan pandangan mereka kepada pemimpin tertinggi Iran dalam usaha mencari jalan damai.

“Dalam perbualan telefon dengan beberapa negara Arab, mereka minta saya sampaikan kepada Presiden Iran kerana mereka tahu hubungan Malaysia dengan Iran agak baik.

“Kita ambil pendekatan positif, kita sampaikan simpati kepada Iran, tetapi juga keprihatinan negara Arab supaya ketegangan ini tidak berlarutan dan ada usaha ke arah perdamaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Rakyat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini semalam.

Anwar berkata, Malaysia turut berhubung dengan beberapa negara termasuk Mesir, Turkiye dan Azerbaijan bagi mendapatkan pandangan serta mencari pendekatan terbaik untuk mengelakkan konflik terus memuncak.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Malaysia antara negara yang lantang membantah serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, meskipun tidak ramai negara berani berbuat demikian.

Anwar berkata, konflik berkenaan turut memberi kesan besar kepada ekonomi global termasuk peningkatan kos minyak dan gangguan rantaian bekalan dunia.

Katanya, kerajaan kini giat mengambil pelbagai langkah termasuk mengadakan rundingan dengan negara luar serta pakar ekonomi bagi memastikan impak terhadap negara dapat diminimumkan.