
PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei mengulangi komitmen memperkukuh kerjasama dalam pelbagai mekanisme keselamatan serta pertahanan diketuai Asean bagi menangani cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional.
Komitmen itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menerusi kenyataan bersama sempena Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-26 (ALC) di Kompleks Seri Perdana di sini, semalam.
Ia termasuk kerjasama melalui platform Mesyuarat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC), Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus.
Kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan kerjasama pertahanan erat yang terus diperkukuh melalui pertukaran lawatan, kursus latihan serta latihan ketenteraan bersama.
Mereka turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RBAF) dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan antarabangsa menerusi penyertaan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Kedua-dua pemimpin menghargai penyertaan berterusan pegawai kanan pertahanan dalam platform utama termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang dijadual berlangsung di Langkawi pada 20 hingga 24 Mei lalu, selain pelbagai program berkaitan pertahanan lain.