
KUALA LUMPUR: Malaysia akan tampil lantang di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-80 di New York pada minggu ini dengan membawa mesej tegas bahawa PBB gagal menjaga keamanan antarabangsa, hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa serta perlu kembali kepada piagam asalnya itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau juga akan membentangkan prestasi PBB sejak penubuhannya 80 tahun lalu yang kini agak mengecewakan terutama kegagalan Majlis Keselamatan menyelesaikan isu dua negara iaitu Palestin dan Israel, serta mengecam keganasan dan penderitaan berpanjangan dialami rakyat Palestin di Gaza.
“Malaysia akan menyuarakan kebimbangan bahawa PBB semakin kehilangan kepercayaan dunia membangun dan negara Islam kerana sering dilihat memihak kepada kuasa besar dan gagal bertindak adil,” katanya.
Mengulas sokongan penuh Malaysia terhadap usaha kolektif masyarakat antarabangsa ke arah penyelesaian dua negara dan pengiktirafan terhadap Palestin sebagai sebuah negara pada Deklarasi New York, Mohamad berkata, ia harus dilihat sebagai satu langkah penting bagi menamatkan penjajahan, pendudukan haram dan dasar perampasan dilakukan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Beliau berkata, sebarang inisiatif bagi memajukan penyelesaian dua negara tidak seharusnya didorong semata-mata oleh kepentingan keselamatan yang didefinisikan secara sempit atau dimanipulasi secara politik, sehingga mengorbankan keselamatan rakyat Palestin serta hak mereka yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak menentukan nasib sendiri dan hak memiliki sebuah negara berdaulat.