Makmal Dadah Proses Syabu di Kebun Durian

Foto NSTP

BALIK PULAU: Polis membongkar sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan premis dalam kebun durian di Teluk Bahang di sini sebagai makmal haram bagi pemprosesan dadah jenis syabu.

Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM38 juta. Kejayaan itu hasil risikan berterusan Jabataan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang melakukan beberapa serbuan serentak pada Sabtu dan Ahad lalu sekitar negeri ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dalam serbuan pertama di sebuah premis di Jalan Gurdwara, Georgetown, tiga lelaki warganegara asing berusia antara 32 hingga 38 tahun ditahan dan mereka dipercayai bertindak sebagai ahli kimia memproses dadah.

Seorang lagi suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun mati di lokasi selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan itu ketika cuba melarikan diri menerusi tingkap.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 26 kilogram (kg) disyaki methamphetamine dan pelbagai peralatan pembungkus dadah.

“Serbuan kedua dijalankan di sebuah premis perindustrian di Taman Windmill berhampiran lokasi sama, yang digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula serta merampas dadah berkenaan seberat 474kg.

“Serbuan ketiga pula membawa kepada penemuan sebuah makmal haram di sebuah rumah tidak bernombor dalam kawasan kebun durian di Teluk Bahang di sini, yang disewa sindiket sejak September lalu dengan harga RM80,000 setahun,” katanya.

Di kebun durian seluas kira-kira 32 hektar itu, polis merampas serbuk putih disyaki methamphetamine seberat 60 kg, ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 54 kg.