
KUALA LUMPUR: Teknologi baru bagi memajukan negara perlu seiring pengukuhan jati diri, sejarah serta warisan budaya tempatan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sebagai contoh, usaha pemuliharaan bangunan warisan Seri Negara bukan sekadar membabitkan kerja fizikal memelihara bangunan bersejarah, sebaliknya adalah proses memaknai semula erti kemerdekaan dan pembinaan identiti nasional.
Beliau berkata, ia bagi memastikan generasi muda memahami liku-liku perjuangan serta pengorbanan besar yang melatari pembentukan negara.
Anwar berkata, bangunan berkenaan, yang suatu ketika dahulu menjadi simbol kemegahan dan elitisme kuasa penjajah sebelum diambil alih kerajaan pada 1982, perlu dimanfaatkan sebagai milik seluruh penduduk Malaysia dan diangkat sebagai warisan inklusif, bukannya kekal sebagai ruang eksklusif golongan elit baru.
“Gedung-gedung atau bangunan bersejarah ini menjadi pilihan golongan elit penguasa tidak menjadi masalah, namun jangan sampai menghalang penduduk biasa daripada menikmati kemudahan yang sama sehingga mencetuskan pertembungan idea.
“Selain usaha mengindahkan dan memulihara Seri Negara, pendekatan ini memberi gambaran bahawa Seri Negara adalah milik negara secara keseluruhan, merangkumi nilai perisiannya, sejarahnya, seninya, budayanya serta sasteranya, selaras dengan konsep keterangkuman negara Madani,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara.