
KUALA LUMPUR: Jarang sekali majlis pernikahan dilangsungkan dalam gelap tapi inilah yang dilalui sepasang di Kuala Krai, Kelantan.
Pengalaman tidak dapat dilupakan itu berlaku apabila majlis akad nikah mereka berlangsung dalam suasana gelap susulan gangguan bekalan elektrik di kampung berkenaan.
Rakaman video dikongsi pengguna TikTok, Myzahs, menunjukkan majlis tetap diteruskan di surau kampung berkenaan dengan bantuan tetamu yang menyalakan lampu suluh telefon bimbit masing-masing sepanjang majlis itu berlangsung.
Myzahs menyatakan, selepas selesai akad nikah, pihaknya turut menyalakan lilin kepada tetamu untuk menikmati hidangan dalam suasana romantik dan unik.
“Pertama kali jadi macam ni, memang mengejutkan. Sekurang-kurangnya mereka ada cerita untuk dikongsi dengan anak-anak nanti,” menurut video berkenaan.
Video berkenaan menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet dan ada daripadanya turut berkongsi kejadian yang sama menimpa majlis pernikahan mereka.
Ada juga yang menyifatkan kejadian itu akan menjadi kenangan paling manis yang akan dikenang oleh seluruh penduduk kampung.
Lain daripada yang lain dan video itu. Sehingga kini video itu sudah ditonton lebih 254,000 dan menerima sebanyak 28,300 tanda suka.