
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Datuk Seri Najib Razak berkait Titah Adendum, tidak mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri dalam memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah.
Dalam satu kenyataan AGC hari ini, Hakim Alice Loke Yee Ching dalam penghakiman lisannya turut mengiktiraf kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri berkenaan pengampunan.
AGC menegaskan, keputusan Mahkamah Tinggi itu telah menjelaskan secara terperinci perjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri dalam memutuskan sesuatu pengampunan, sekali gus memperkukuh serta mengesahkan kuasa institusi diraja, khususnya dalam hal ehwal permohonan pengampunan.
Menurut AGC, ketika menolak permohonan semakan kehakiman oleh Najib itu, Mahkamah Tinggi telah menegaskan pengampunan adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dijamin bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana diputuskan dalam keputusan duluan Mahkamah Atasan.
“Bagaimanapun, Perkara 42 juga memperuntukkan bahawa dalam melaksanakan kuasa prerogatif itu, Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri akan bersidang bersama Lembaga Pengampunan dalam memutuskan sesuatu permohonan pengampunan”
Berhubung kes melibatkan Datuk Seri Najib, AGC berkata, Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 jelas menunjukkan isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mesyuarat berkenaan.
“Mesyuarat itu hanya membincangkan permohonan pengampunan penuh oleh Datuk Seri Najib, dan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu hanyalah supaya hukuman penjara serta denda dikurangkan sebanyak 50 peritus”
“Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa titah tambahan untuk tahanan rumah, tidak dibuat berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memandangkan perkara berkenaan tidak pernah dibincang atau diputuskan dalam mesyuarat yang sama”
Pada 22 Disember 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Perdana Menteri itu bagi memaksa kerajaan serta enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Ia membabitkan kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang disabitkan ke atas bekas Presiden Perdana Menteri itu.
Hakim, Alice Loke Yee Ching membuat keputusan berkenaan setelah berpuas hati bahawa isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut, dibincang mahupun diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Hakim itu juga memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.