Mahkamah perintah Najib bayar SRC AS$1.3b

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin hari ini memerintahkan Datuk Seri Najib Razak membayar ganti rugi AS1.3 bilion kepada SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah memutuskan berlaku pecah amanah dan salah guna kuasa oleh bekas perdana menteri itu.

Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar ganti rugi konspirasi, faedah sebanyak lima peratus setahun, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Melalui penghakiman yang dibacakan selama hampir empat jam itu, Ahmad Fairuz berkata mahkamah mendapati defendan sebagai penasihat emeritus syarikat memegang kuasa mutlak dalam setiap keputusan penting membabitkan SRC, bermula daripada penubuhan sehingga usaha menutup penyelewengan.

“Defendan memainkan peranan penting dalam penubuhan SRC sebagai anak syarikat 1MDB pada Januari 2011. Beliau mengarahkan pemindahan pemilikan SRC daripada 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada 2012, sekali gus mengeluarkannya daripada pengawasan lembaga 1MDB dan meletakkan SRC secara langsung di bawah kawalannya sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.

“Beliau juga secara peribadi berhubung dengan Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 sebelum sebarang resolusi rasmi lembaga dibuat dan perbincangan bagi mendapatkan pinjaman pertama, membuktikan bahawa pinjaman itu adalah inisiatif beliau.

“Beliau menyebabkan pindaan perlembagaan syarikat diperkenalkan yang memerlukan kelulusan beliau sendiri sebagai pemegang saham.

“Beliau turut mengarahkan penyaluran dana kepada SRC BVI serta anak syarikat BVI, iaitu struktur yang tidak mempunyai tujuan pelaburan yang sah, sebaliknya direka untuk memudahkan penyelewengan, sekaligus menerima AS$120 juta daripada dana yang diselewengkan ke dalam akaun peribadinya,” katanya dalam prosiding itu.