
PUTRAJAYA: Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd diperintah oleh Mahkamah Rayuan agar membuat pembayaran berhubung pembekalan gas kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dianggarkan melebihi RM500 juta.
Petronas berjaya mengetepikan injunksi sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi, supaya ia terus membekalkan gas kepada Shell MDS di fasiliti Bintulu, Sarawak, tanpa menerima sebarang bayaran sejak Ogos lalu.
Shell MDS tidak membuat bayaran disebabkan dakwaan adanya dua invois, iaitu daripada Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros). Shell MDS bimbang kemungkinan perlu membuat bayaran berganda, sementara isu bidang kuasa antara Petronas dan Petros masih diselesaikan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azimah Omar sebulat suara membenarkan rayuan Petronas untuk mengetepikan injunksi berkenaan dan memerintahkan jumlah itu dibayar dalam tempoh 14 hari, iaitu bagi bayaran sejak Ogos tahun lalu.
Ia membenarkan Petronas mengetepikan injunksi mandatori yang menghendaki syarikat minyak dan gas itu terus membekalkan gas tanpa menerima sebarang bayaran setakat ini.
Petronas juga berjaya mengetepikan injunksi kedua dan ketiga iaitu berhubung Jaminan Bank. Shell MDS memohon supaya Petronas dihalang daripada membuat tuntutan ke atas jaminan itu, menerima atau menggunakan hasilnya, serta memohon pemulangan semula hasil yang telah diterima.
Panel kemudian memerintahkan jumlah yang perlu dibayar dikira sehingga tempoh 5 Oktober ini dan wang berkenaan hendaklah didepositkan pada keesokannya.