
PETALING JAYA: Penyanyi antarabangsa, Maher Zain, menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang berjiwa rakyat apabila tampil merendah diri saat mereka bertemu ketika solat Jumaat di Masjid Al-Ehsan, Bandar Kinrara, Puchong, kelmarin.
Maher atau nama sebenarnya Maher Mustafa Maher Zain, 44, yang terkenal dengan lagu-lagu berunsur kerohanian, berkata pertemuan itu meninggalkan kesan mendalam kerana Anwar memperlihatkan sikap rendah hati, seolah-olah meletakkan dirinya setara dengan orang lain tanpa membezakan pangkat atau jawatan.
“Alhamdulillah, ia satu penghormatan buat kami. Saya berasa sangat kagum kerana beliau seakan melupakan kedudukannya, dan kita semua hanyalah manusia.
“Melihat kerendahan hati beliau adalah sesuatu yang menakjubkan. Masya-Allah, anda semua rakyat Malaysia memang bertuah,” katanya.
Kelmarin, Maher menunaikan solat Jumaat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Masjid Al-Ehsan, Bandar Kinrara, Puchong, sebaik tiba ke negara ini, disertai kira-kira 1,000 jemaah.