Lima 25: Kerjasama hadapi cabaran global

Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) mencerminkan komitmen Malaysia terhadap kesiapsiagaan pertahanan, keamanan serantau dan kerjasama strategik dalam menghadapi cabaran keselamatan global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Merasmikan majlis perasmian LIMA’25 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Anwar menyifatkan pameran kali ini jauh lebih berjaya berbanding sebelum ini dan beliau turut memuji Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta rakan kongsi antarabangsa atas sumbangan mereka dalam menaikkan LIMA ke tahap yang lebih menonjol.

Anwar berkata, kedudukan geopolitik Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang dikelilingi Lautan Hindi, Laut China Selatan dan Selat Melaka menekankan kepentingan mengekalkan kesiapsiagaan pertahanan sambil mengekalkan keamanan di rantau ini.

Beliau menegaskan ASEAN sebagai sebuah blok, kekal sebagai tonggak kestabilan serantau justeru Malaysia mengalu-alukan penyertaan kuasa besar termasuk China, India, Korea, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah dalam LIMA’25.

Lebih 600 pempamer dari 25 negara mengambil bahagian dalam edisi tahun ini, Anwar menyifatkan LIMA sebagai satu daripada pameran aeroangkasa pertahanan dan komersil terulung dunia, yang memberi peluang untuk menyokong perusahaan tempatan. Setakat ini 60,000 tiket feri sudah hais dijual.

LIMA’25 merupakan anjuran bersama antara Kementerian Pertahanan dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) yang memberi penekanan pada inovasi dan peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.

Bertemakan “Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan”, LIMA’25 berlangsung di Langkawi, Kedah dan merupakan pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.