
SUBANG JAYA: Lima pihak termasuk Petronas Gas Behad berhadapan tindakan mahkamah seramai 36 penduduk Taman Putra Harmoni, Putra Heights yang memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi di Shah Alam.
Tindakan itu adalah berikutan kejadian letupan dan kebakaran yang berlaku pada 1 April lalu.
Penduduk mendakwa insiden berpunca daripada kecuaian manusia dan penempatan talian gas yang terlalu hampir dengan kediaman, serta menggesa agar tragedi sama tidak berulang kepada komuniti lain.
Wakil plaintif, Loh Poh Heng berkata tindakan itu difailkan terhadap Petronas Gas Berhad, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Kerajaan Malaysia.
Katanya, mereka melantik bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas sebagai peguam utama mewakili penduduk dalam tindakan guaman itu.
“Ini bukan sekadar tuntutan undang-undang, tetapi satu rayuan untuk keadilan dan pengiktirafan terhadap penderitaan kami. Kami mahu suara kami didengari,” katanya.
Beliau berkata: “Kami percaya tragedi ini berpunca daripada kecuaian manusia dan sepatutnya boleh dielakkan. Talian penghantaran gas milik Petronas Gas Berhad diletakkan terlalu hampir dengan rumah kami, namun langkah keselamatan tidak mencukupi.
“Enam bulan selepas kejadian, ramai mangsa masih tidak mempunyai tempat tinggal kekal dan bergantung kepada bantuan keluarga atau tinggal di penempatan sementara,” katanya.
.