
IPOH: Hampir dua dekad selepas memeluk Islam, Wan Masindra Juja, 44, melalui perjalanan daripada mencari jawapan mengenai agama kepada membimbing orang lain dalam perjalanan kerohanian mereka.
Pengorbanan serta dedikasi pendakwah dari masyarakat Orang Asli itu diiktiraf apabila beliau dinobatkan sebagai Tokoh Pendakwah (Anugerah Ibnu Abbas) yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, di sini malam tadi.
Beliau membawa pulang wang tunai RM5,000 dan sebuah plak.
Melahirkan rasa syukur, Wan Masindra berkata, anugerah itu bukan sahaja pengiktirafan untuk dirinya, tetapi semua pendakwah, khususnya mereka yang datang daripada latar belakang bukan Melayu.
“Alhamdulillah, pertama sekali saya bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat ini. Ia benar-benar satu pengiktirafan kepada pendakwah, khususnya bukan Melayu untuk menunjukkan bahawa Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa,” katanya.