
TAMPIN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Tampin hari ini atas pertuduhan membunuh Suri Narudin, antara 7 hingga 18 Disember lalu.
Tertuduh, Zainizan Zainal, 51, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mayat Suri, 53, yang sebelum itu dilaporkan hilang di Ampang, Selangor sejak 8 Disember lalu, ditemui dalam sebuah beg ditanam di belakang sebuah rumah di Jalan Pedas Linggi, Rembau.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan terhadap Zainizan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Januari 2026 untuk laporan forensik serta bedah siasat.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata susulan kes itu, Polis menahan dua lelaki berumur 51 dan 41 tahun untuk membantu siasatan.