
CYBERJAYA: Dana yang hilang dan tiris melebihi angka RM15.5 bilion boleh diselamatkan dan dipungut oleh semua agensi kerajaaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Mentei berkata, walaupun ramai kakitangan kerajaan yang berkhidmat dengan cemerlang, masih ada bibit-bibit kerosakan dan kepincangan dalam agensi kerajaan terutama yang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, sehingga berlaku ketirisan.
Anwar berkata, berikutan kelemahan dalam sistem yang digunakan dalam agensi kerajaan, ia membuka peluang kepada segelintir pihak menggunakan kelompongan itu untuk menyebabkan kehilangan dana yang sepatutnya dimanfaatkan untuk rakyat.
Katanya, hasil kerjasama semua agensi, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai tonggak dengan bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), membolehkan kutipan dana tambahan sejumlah RM15.5 bilion sejak dua tahun kebelakangan ini, daripada hasil yang dirompak.
“Sebagai anak Malaysia, saya bangga dengan prestasi Kastam Diraja. Dalam dua tahun lebih kita berjaya menghasilkan tambahan RM15.5 bilion.
“Itu kerana rakyat, hak kita, hak rakyat yang dirompak kerana sistem kita masih belum kemas sehingga memungkinkan ada kelompok yang mencari kesempatan, menyebabkan ketirisan, kehilangan dana,” katanya.