Lebih 23,000 Mangsa Banjir Berlindung di 273 PPS

Foto Fail

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 273 pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 23,640 orang daripada 7,555 keluarga, menandakan keadaan banjir di 11 negeri bertambah baik.

Di Terengganu, jumlah mangsa menurun kepada 5,798 orang daripada 1,702 keluarga berbanding 8,345 orang daripada 2,490 keluarga sebelah petang semalam.

InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan banjir membabitkan tujuh daerah termasuk Kuala Terengganu yang paling teruk terjejas, Marang, Kuala Nerus, Kemaman, Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu.

Mangsa banjir Terengganu ditempatkan di 102 PPS.

Di Perlis, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 3,577 daripada 1,382 keluarga yang berlindung di 23 PPS.

Namun,di Sselangor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,626 orang daripada 1,048 keluarga pagi ini berbanding 3,473 orang daripada 989 keluarga malam tadi.

Menurut laman web Infobencana JKM, 35 PPS masih beroperasi di lima daerah membabitkan Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Klang.

Di Negeri Sembilan, InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir seramai 258 orang membabitkan 99 keluarga, berbanding 310 orang daripada 113 keluarga terdahulu. Tiga PPS masih buka.

Di Kedah, masih terdapat 1,189 orang daripada 296 keluarga masih berlindung di 16 PPS

Laman rasmi Publicinfo Banjir memaklumkan Sungai Bata telah melepasi tahap bahaya iaitu 10.637 meter (m) manakala Sungai Anak Bukit (2.45m) dan Sungai Baru (1.86m) melepasi tahap amaran.

Di Melaka, jumlah mangsa terus berkurangan kepada 62 orang daripada 16 keluarga, ditempatkan di tiga PPS.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir setakat pagi ini mencatatkan 1,412 orang daripada 472 keluarga, berbanding 1,855 orang daripada 594 keluarga, sebelah petang semalam. Mereka ditempatkan di 38 PPS.

Selain itu, lima sungai utama melepasi bacaan paras bahaya iaitu Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Jerantut (53.87m); Sungai Pahang di Waterfront (F1), Bera ( 28.89m); Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut (61.33m); Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis (62.28m) dan Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh (41.51m).

Di Perak, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 5,812 orang daripada 1,806 keluarga, berbanding 6,440 orang daripada 2,006 keluarga, yang ditempatkan di 43 PPS di enam daerah semalam. Mereka berlindung di 42 PPS.

Di Kelantan, mangsa banjir turun kepada 1,884 orang daripada 725 keluarga di tiga jajahan terjejas iaitu Pasir Mas, Tumpat dan Gua Musang. Sembilan PPS masih dibuka.

Selain itu, paras air beberapa sungai utama menunjukkan trend menaik, termasuk Sungai Pergau di Jeli (98.21 m) dan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang (59.56 m) manakala Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras 9.83 m, melepasi tanda bahaya.