Langkah Petronas Jual Aset di Kanada Berhemah

Foto Hiasan

PETALING JAYA: Selepas berbulan-bulan tersebar spekulasi ia mungkin keluar sepenuhnya dari Kanada, Petronas mengesahkan penjualan kepada MidOcean Energy yang disokong EIG dan Saudi Aramco.

Keputusan Petronas menjual 20 peratus kepentingan asetnya di Kanada pada harga lebih AS$3 bilion (RM12.6 bilion) adalah langkah berhemah mengurangkan tekanan fiskal dalam negara.

Penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani percaya ia juga mengukuhkan kedudukan dalam pasaran LNG luar negara, dan bukannya satu bentuk pengunduran.

Petronas akan mengekalkan pemilikan 80 peratus dalam anak syarikatnya di Kanada, Petronas Energy Canada, yang merupakan antara pemegang hak gas asli terbesar di lembangan Montney, British Columbia.

“Ini adalah penyusunan semula, bukannya pengunduran. Petronas telah menjana nilai, membawa masuk rakan kongsi yang kukuh dan masih mengekalkan kawalan,” kata Jamil.

Pada 2012, Petronas memasuki Kanada melalui pengambilalihan Progress Energy bernilai AS$$5.3 bilion, sekali gus memperoleh rizab sebanyak 53 trilion kaki padu. Sejak itu, ia telah mengukuhkan kedudukannya secara berterusan, dengan mencapai pengeluaran rekod melebihi 210,000 tong minyak sehari menjelang akhir 2024.