Langkah Jimat Elektrik: Aircond Pejabat Minimum 24°C

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius di pejabat kerajaan adalah antara langkah jimat cermat berikutan krisis tenaga global, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata penjawat awam digalak memakai pakaian lebih sesuai dengan iklim tempatan seperti batik, kemeja korporat atau baju Melayu bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyejukan berlebihan.

Beliau berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga secara berhemat.

“Sebagai langkah proaktif dalam menghadapi krisis tenaga global, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan tenaga di peringkat nasional,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesej video mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April depan sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Keputusan dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri itu bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat krisis tenaga global.