
SHAH ALAM: Cadangan pemindahan ladang ternakan babi berskala besar ke Bukit Tagar, Hulu Selangor tidak sesuai kerana tidak mengikut prosedur asas pembangunan.
Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) mempersoalkan kesesuaiannya selagi kerajaan negeri gagal mengemukakan pelan lengkap projek itu termasuk lokasi sebenar, reka bentuk ladang, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).
Presidennya, Mohd Yusaimi Md Yusof berkata, sehingga kini cadangan kerajaan Selangor masih kabur dan tidak mengikut prosedur asas pembangunan yang sepatutnya dipatuhi sama ada oleh pihak swasta mahupun kerajaan.
“Sebarang projek pembangunan wajib mempunyai pelan menyeluruh merangkumi reka bentuk, susun atur ladang, sistem rawatan sisa serta kelulusan pihak berkuasa tempatan sebelum boleh dinilai dari sudut alam sekitar.
“Isu ini sebenarnya mudah, sama ada projek ini dibuat oleh swasta atau kerajaan sekalipun, mesti ada struktur lengkap termasuk bangunan, sistem dan pelan kerana ia penting untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Mohd Yusaimi turut mempersoalkan ketiadaan laporan EIA dan SIA walaupun projek itu dikatakan membabitkan kawasan luas serta berisiko menjejaskan sumber air.