
SHAH ALAM: Menjunjung titah terbaru Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kerajaan negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di Selangor, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, Kerajaan Selangor tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi di negeri itu manakala penutupan ladang penternakan babi sedia ada akan dipercepatkan.
Menurtnya, ketetapan itu diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung isu yang memberikan kesan kepada rakyat pada ketika ini.
“Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah terbaru Sultan Selangor apabila baginda tidak memperkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
“Sejak Januari lalu, kerajaan negeri sudah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memfokuskan kepada pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat, Kuala Langat sebagaimana titah Sultan Selangor yang dizahirkan pada bulan lalu.
Difahamkan, pembaharuan lesen sedia ada adalah setiap enam bulan berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang mana tarikh terakhir pembaharuan ialah pada Januari lalu.