Kutip Derma Bina Masjid, Tapi Beri Duit pada Isteri

Foto SPRM

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan ada pihak yang kononnya kutip derma atau dana awam untuk mendirikan masjid, tetapi wang diperoleh diberikan kepada isteri.

Beliau berkata, penyelewengan atau salah guna dana awam atas nama sumbangan kebajikan atau derma sesuatu yang amat menyedihkan.

Beliau berkata demikan mengulas pendedahan Harian Metro berhubung sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘popular’ berada dalam radar SPRM.

Tiga pertubuhan itu didakwa mengumpul ‘harta haram’ hasil kutipan dana jutaan ringgit.

Mendedahkan perkara itu kepada Harian Metro, Azam berkata, risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO berkenaan.

Azam berkata, ketiadaan undang-undang khusus bagi mengawal kutipan dana awam secara dalam talian dikenal pasti sebagai satu kelompangan serius yang membuka ruang kepada penyalahgunaan wang masyarakat melalui media sosial.

Hingga kini tiada peruntukan undang-undang yang boleh mengekang aktiviti kutipan dana wang menggunakan konsep ‘crowdfunding’ yang semakin berleluasa.

“Ini sekarang memang tak ada undang-undang. Masalah ini ialah tentang kutipan wang melalui online payment (pembayaran dalam talian) dan sebagainya.

“Individu tertentu mencipta dan memanggilnya sebagai ‘crowdfunding’ tetapi setakat ini tiada undang-undang yang boleh mengekang walaupun ia dibuat secara terbuka,” katanya dalam temubual dengan Harian Metro, kelmarin.