Kuota Teksi Rentas Sempadan ditambah 200 ke 500

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Hubungan pengangkutan darat rentas sempadan melalui perkhidmatan teksi dan bas akan ditambah baik susulan mesyuarat di antara Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan rakan sejawatnya Jeffrey Siow, sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 kelmarin.

Antara penambahbaikan itu ialah peningkatan kuota teksi berlesen rentas sempadan daripada 200 kepada 500 bagi setiap negara secara berperingkat, tertakluk kepada pelaksanaan langkah kawal selia yang berkesan bagi menangani perjalanan domestik tidak sah serta pematuhan keperluan insurans.

Sebagai permulaan, setiap negara akan menyediakan tambahan kuota sebanyak 100 teksi, dengan keutamaan diberikan kepada kenderaan bersaiz lebih besar dan premium yang mampu menampung kumpulan penumpang lebih ramai serta pelancong korporat.

Kedua-dua Menteri turut bersetuju membenarkan teksi asing menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di luar negara asal mereka, manakala pengambilan penumpang kekal terhad di lokasi ditetapkan, yang akan ditambah secara berperingkat bagi mengelakkan operasi titik-ke-titik domestik.