
KUALA LUMPUR: Besar kemungkinan petani dan penjaja akan menikmati inisiatif BUDI95 apabila kerajaan sedia mempertimbang permohonan kuota tambahan subsidi petrol di bawah inisiatif itu untuk golongan berkenaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ketika ini setiap pengguna individu menikmati kuota 300-liter sebulan dan jumlah itu disifatkan mencukupi bagi keperluan harian termasuk penggunaan penjana elektrik atau mesin kecil.
“Dalam semua perubahan atau apa-apa yang kami buat, akan ada cabaran dan pengecualian kepada peraturan itu.
“Jadi, apa yang kami dah nampak ialah kami dah kira untuk e-hailing sebagai contoh, kami membenarkan mereka untuk memohon kuota atau kelayakan yang lebih tinggi, asalkan kami dapat sokongan daripada syarikat e-hailing yang mengatakan mereka itu pekerja sepenuh masa.
“Kami dapat data daripada syarikat secara berperingkat untuk membolehkan kami buat semakan.
Oleh itu, kalau ada keadaan melibatkan penjaja atau petani, kerajaan boleh meneliti permohonan mereka tetapi kami perlukan mekanisme pengesahan sebelum kelulusan diberi,” katanya pada sesi taklimat media mengenai penyasaran subsidi RON95 di sini hari ini.