Kudung Kaki Gara-gara Main Bunga Api

Foto NTSP

SEGAMAT: Sedang asyik bermain bunga api di depan rumahnya, seorang lelaki putus kaki kiri akibat terkena letupan bunga api itu di Taman Damai Jaya, Bukit Siput di sini, semalam.

Pada kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 30-an sedang bermain bunga api sebelum berlaku letupan hingga mencederakannya.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, siasatan polis mendapati mangsa bermain bunga api jenis ‘shoot cake 4(D) 16 shot (premium)’ di depan rumahnya sempena Tahun Baru Cina.

Menurutnya, akibat letupan itu mangsa parah sehingga kudung kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Segamat untuk menerima rawatan.

“Mangsa kini berada di zon merah dengan pemantauan dijalankan pasukan perubatan” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pegawai perubatan mengesahkan mangsa putus kaki kiri dari bawah lutut dan kini dalam keadaan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.