KSN Saran Aplikasi Respons Rakyat Diperluas, Reformasi Birokrasi Jimat RM3.21 Bilion

Foto : Bernama

PUTRAJAYA – Pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri disaran memperluas penggunaan Aplikasi Respons Rakyat (RR) bagi menyediakan saluran maklum balas kerajaan yang lebih inklusif, pantas dan mudah diakses rakyat. Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata langkah itu selari dengan hasrat pendigitalan negara, selain berfungsi sebagai platform sokongan yang ampuh kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Berucap pada Majlis Apresiasi Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam Peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Tahun 2025 di sini hari ini, beliau menyeru agar data daripada kedua-dua sistem dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengenal pasti trend permasalahan rakyat. “Janganlah kita bersikap lepas tangan dengan menolak pengadu atas alasan isu tersebut di luar bidang kuasa kita dan sentiasalah tanamkan sifat empati dalam berkhidmat kerana inilah teras kelangsungan tadbir urus yang terbaik bagi sesebuah organisasi,” katanya.

Shamsul Azri turut mengingatkan agensi kerajaan supaya tidak cepat berpuas hati apabila sesuatu aduan berjaya diselesaikan sekali sahaja. “Kita juga harus mengelak daripada terus-menerus mengamalkan pendekatan firefighting atau menyelesaikan masalah secara ad hoc. Jika sesuatu aduan itu kerap berulang di kawasan yang sama, itu satu isyarat jelas bahawa terdapat kelompangan dalam sistem penyampaian kita,” katanya.

Mengenai Inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) pula, beliau memaklumkan 1,582 projek telah didaftarkan setakat ini dengan 496 daripadanya siap, membabitkan penjimatan kos pematuhan kepada kerajaan berjumlah RM3.21 bilion. Bagi inisiatif tanpa kertas yang diarahkan sejak Februari lalu, penjimatan bulan Ogos sahaja mencecah 123,325 rim kertas bersamaan RM1.48 juta, manakala penjimatan terkumpul dari Mei hingga Ogos berjumlah 482,940 rim bernilai RM5.79 juta.

Majlis anjuran Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri itu menilai prestasi SUK negeri menerusi tujuh kategori, merangkumi kecekapan respons awam, kecekapan penyampaian perkhidmatan, pemerkasaan kompetensi pengurusan aduan, kecekapan proses kerja, tadbir urus pengurusan aduan, komunikasi awam strategik dan keunggulan inovasi digital. SUK Selangor, Perak, Melaka, Sarawak dan Kedah menerima tujuh penarafan; diikuti SUK Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kelantan dengan enam penarafan, manakala SUK Terengganu, Sabah, Johor dan Perlis masing-masing lima penarafan.

Sumber : Bernama