KPM pantau pembabitan pelajar dalam aktiviti militant

Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM: Pembabitan pelajar dalam aktiviti militan dan keganasan akan dipantau rapi bagi mengekang sebarang unsur ekstremisme daripada menyusup masuk ke institusi pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM telah menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Dalam masa yang sama, di peringkat KPM kita pantau semua penglibatan pelajar supaya anasir ini tidak masuk dalam kementerian dan khususnya di institusi pendidikan kita,” katanya pemberita selepas merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Seberang Jaya di sini semalam.

Beliau berkata, kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan penting bagi melindungi pelajar, guru serta keseluruhan institusi pendidikan daripada pengaruh yang berkait rapat dengan unsur terbabit.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, polis melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh di negara ini dengan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur menerusi operasi khas.

Beliau berkata, suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi dilancarkan oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Februari lalu di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.