
KUCHING: Bagi memastikan kos tiket jemaah haji Malaysia tidak terjejas susulan ketidaktentuan harga bahan api global akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat, Lembaga Tabung Haji (TH) sedang berunding dengan syarikat penerbangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, perbincangan itu melibatkan syarikat penerbangan dalam dan luar negara bagi mengekang kemungkinan kenaikan kos penerbangan menjelang musim haji akan datang.
“Ini bukan sahaja melibatkan haji kerana apabila berlaku krisis, harga minyak akan naik dan kos insurans juga meningkat. Maka kos logistik termasuk kapal terbang dan pengangkutan laut akan naik.
“Selain itu, penerbangan dalam negeri pun akan naik. Sebab perjalanan antara Sabah, Sarawak menggunakan kapal terbang sudah pasti ada caj tambahan minyak penerbangan dalam negeri dan juga luar negara. Jadi, ini persiapan-persiapan yang kami kena lihat dan bagaimana kami nak tangani,” katanya.
Fadillah berkata demikian pada Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Samariang, pada Sabtu.
Beliau berkata, keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan oleh TH atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan selepas rundingan dengan syarikat penerbangan dimuktamadkan.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, selain kos perjalanan jemaah haji, kerajaan memantau rapi perkembangan semasa memandangkan kenaikan kos logistik boleh memberi kesan kepada pelbagai sektor.