
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menganggarkan kos mengendalikan Pilihanraya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 ialah RM116.8 juta, kata Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 adalah Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober lalu.
“DPPR bagi PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 ini mengandungi seramai 1,784,843 orang pemilih yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 tentera serta pasangan, dan 12,729 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
“DPPR bagi PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 dijadualkan akan mula dijual pada 1 November 2025 (Sabtu),” katanya.
Katanya, pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
“Waktu operasi hotline SPR adalah dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari. Semakan boleh dibuat mulai 1 November 2025 (Sabtu),” katanya.