Kontroversi MyBurgerLab Satu Pengajaran: Saifuddin

Foto Malaysiakini / Saifuddin Nasution Ismail

TAIPING: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyokong tindakan MyBurgerLab menamatkan perkhidmatan Andrew Chong susulan kenyataan kontroversi menyentuh sensitiviti agama, dan menekankan pentingnya menjaga tanggungjawab sosial dalam masyarakat majmuk.

Beliau berkata insiden berkenaan menunjukkan betapa pentingnya semua pihak memelihara tanggungjawab sosial dan sensitiviti dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Ini menunjukkkan mereka (MyBurgerLab) mengambil berat, mengambil serius dan bertindak. Pengajarannya, di negara kita ini ada fabrik sosial yang telah lama wujud, membolehkan kita hidup dengan aman damai,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution mengingatkan penganjur konvoi agar memberikan taklimat mengenai pematuhan undang-undang jalan raya seperti had laju dan jarak selamat kepada peserta selain bekerjasama dengan polis bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Konvoi itu satu hobi perlu digalakkan, tetapi mesti mematuhi garis panduan keselamatan. Jangan sampai menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya lain apatah lagi yang melibatkan nyawa,” katanya.

Beliau mengulas mengenai penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu semalam yang mengundang perhatian ramai selepas berlaku kemalangan maut membabitkan peserta.