
Kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan harga RON 95 walaupun ada lonjakan mendadak harga minyak mentah di pasaran global berikutan ketegangan geopolitik membabitkan Iran-Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata walaupun kenaikan harga memberi manfaat kepada hasil syarikat petroleum Malaysia, kerajaan berusaha untuk tidak membebankan rakyat dengan kenaikan harga bahan api dalam negara.
“Minyak ini naik turun. Sekarang ini keadaannya rendah. Jika naik tu agak mendadak sedikit, hasilnya baik untuk Petronas tapi kesannya kepada negara lain. Kita tak naik harga minyak,” katanya.
Beliau juga berkata, dasar fiskal termasuk pelaksanaan semula cukai perkhidmatan dan jualan (SST) perlu dilaksanakan secara teliti serta tidak memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah.