
PUTRAJAYA: Harga petrol RON95 akan dipertahankan pada harga semasa RM1.99 seliter, meskipun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan konflik di Timur Tengah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan harga minyak mentah global berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara, namun kerajaan bertekad untuk mempertahankan harga petrol RON95 bagi program Budi MADANI RON95 (BUDI95).
“Insya-Allah, untuk rakyat Malaysia saya akan cuba mempertahankan supaya tidak ada kenaikan harga minyak.
“Kita akan bertahan semaksimumnya, tapi wallahualam (pasaran) ini tak terkawal… kalau keadaannya menjadi sehingga luar daripada kawalan kita, itu (jika berlaku kenaikan harga) tidak dapat kita pastikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat tempatan di Kompleks Seri Perdana di sini.