Komplot jatuhkan kerajaan: Isteri bekas menteri disiasat polis

Foto Malay mail

KUALA LUMPUR: Keluarga berpengaruh tempatan didakwa mendalangi komplot untuk menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan media antarabangsa serta pelobi luar negara.

Dalam satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, pengadu mendakwa gerakan berkenaan membabitkan ahli keluarga terdekat seorang bekas menteri yang mempunyai pengaruh besar dalam landskap politik dan ekonomi negara suatu ketika dahulu.

Laporan itu kini tular di media sosial.

Berdasarkan kandungan laporan polis yang tular itu, pengadu mendakwa wujud rancangan oleh keluarga terbabit yang dikatakan didalangi isteri kepada seorang bekas menteri untuk menggunakan beberapa platform media antarabangsa bagi membentuk tekanan terhadap kerajaan di peringkat global.

Gerakan itu dipercayai menyasarkan tekanan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk berkaitan dakwaan dalam siasatan membabitkan individu tertentu.

Sekurang-kurangnya lima agensi media antarabangsa disebut dalam perancangan itu.

Laporan polis itu juga mendakwa wujud rancangan penggunaan khidmat pelobi di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat sebagai strategi mempengaruhi dasar serta hala tuju sesuatu isu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan serta menjejaskan kestabilan negara.

Menurut Mohd Khalid, gerakan itu dikaitkan dengan seorang tokoh tempatan berpengaruh dan sebuah agensi media antarabangsa.

Melalui kenyataan hari ini, beliau mengesahkan siasatan berhubung gerakan komplot itu dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pihaknya semalam.