
KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk di Asia Tenggara, menurut data terbaru OAG Aviation, penyedia analisis perjalanan global yang berpusat di United Kingdom (UK).
Sehingga September ini, KLIA mencatatkan 3.32 juta tempahan tempat duduk iaitu peningkatan sebanyak 7.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sementara itu, Lapangan Terbang Changi, Singapura mendahului senarai di rantau ini dengan 3.58 juta tempahan tempat duduk, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia berada di tempat ketiga.
Pengarah Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Narentheren Kaliappen, berkata pencapaian KLIA itu lebih daripada sekadar statistik kerana ia mencerminkan pemulihan dan pertumbuhan menyeluruh Malaysia sejak pandemik.
“Aliran trafik penumpang di KLIA menggambarkan peningkatan kemasukan pelancong ke Malaysia sekali gus menunjukkan momentum yang kukuh dan tahap keyakinan yang semakin meningkat.
Syarikat penerbangan kini memperluaskan laluan mereka melalui Malaysia dan semakin banyak pelancong memilih KLIA bukan sahaja sebagai tempat transit tetapi juga sebagai hab destinasi,” katanya.