
Pertubuhan Asas Bina Negara (Asabina) menggesa kerajaan mengambil langkah tegas termasuk meminda undang-undang bagi mengklasifikasikan buli sebagai jenayah dengan hukuman setimpal seperti penjara atau sebatan.
Presidennya, Rosdi Amir, berkata pelaksanaan undang-undang baru perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk garis panduan jelas bagi pihak sekolah, institusi pendidikan dan majikan.
“Penubuhan saluran aduan bebas, siasatan berkecuali, sistem pelaporan awam, kawalan keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) wajib di asrama atau di institusi.
“Selain itu, Unit Siasatan Khas yang perlu diwujudkan di bawah seliaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan kes buli di institusi pendidikan di negara ini khususnya sekolah. Unit Siasatan itu perlu diselaras dan dikawal selia oleh polis dengan kerjasama institusi pendidikan,” katanya.