
KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja akan menandatangani Deklarasi Perjanjian Kuala Lumpur atau ‘KL Accord Declaration’ hari ini bagi menggariskan keperluan kedua-dua negara mengundurkan senjata berat masing-masing dan memusnahkan periuk api yang ditanam di sempadan kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia antara perkara penting yang akan dicapai melalui perjanjian berkenaan bagi memastikan gencatan senjata dipersetujui di antara Thailand dan Kemboja pada Julai lalu kekal.
Menurutnya, KL Accord bukanlah perjanjian damai, sebaliknya adalah perjanjian gencatan senjata dan mengenai penubuhan pasukan pemerhati Asean di kawasan yang bergolak.
“Kita mahu supaya tiada lagi pelanggaran gencatan senjata (berlaku) selepas dipersetujui kedua-dua Perdana Menteri yang datang (ke Malaysia sebelum ini)… kerana selepas 28 Julai itu, walaupun gencatan senjata diadakan, terdapat juga pelanggaran kecil.
“Kita harap supaya gencatan senjata ini berkekalan dan kita menyeru kedua-dua negara berunding untuk mereka menyelesaikan masalah sempadan ini.
“(Bagi) Malaysia (kita) tidak akan campur tangan dalam perkara persempadanan dua negara ini dan Malaysia menghormati piagam ASEAN iaitu tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara masing-masing,” katanya selepas menghadiri siri mesyuarat Menteri Luar Asean sempena Sidang Kemuncak Asean Ke-47 di sini.