KKM iktiraf jururawat Melayu suap pesakit India

Foto FB Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR: Jururawat Nur Deena Nadzhiefa menerima pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana sifat mulianya menyuap makanan kepada pesakit warga emas berbangsa India.

Sikap penuh empati jururawat itu, yang tular di media sosial kerana menyantuni pesakit itu baru-baru ini, mencerminkan kemanusiaan mengatasi perbezaan kaum, kulit dan agama.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata beliau berpeluang bertemu sendiri jururawat berkenaan, semasa majlis perasmian bangunan baru Hospital Seberang Jaya, pada Sabtu.

Menurutnya, video tular yang memaparkan keikhlasan Nur Deena melayani pesakit berkenaan benar-benar menyentuh perasaan dan mencerminkan nilai ihsan yang tinggi dalam profesion kejururawatan.

“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai ihsan yang ditunjukkan oleh Deena.

“Beliau membuktikan bahawa ubat paling mujarab di hospital bukan hanya pil atau suntikan, tetapi layanan penuh empati,” katanya dalam hantaran di Facebook.