Kibar Jalur Gemilang Simbol Cinta Negara

Foto Bernama

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menggesa rakyat menyokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai simbol cinta akan negara dan lambang perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 berkata rakyat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan, pejabat, sekolah dan premis masing-masing dengan penuh rasa bangga, sebagai tanda sokongan kepada kempen berkenaan.

“Saya menyeru kepada semua, marilah sama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan, pejabat, sekolah dan premis masing-masing. Jom, kita sokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai tanda cinta akan negara.

“Kibarkanlah bendera yang cukup sifatnya di mana-mana sahaja, dengan penuh rasa bangga,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di sini semalam.