
SEREMBAN: Setiap individu perlu mengamalkan integriti serta menjauhi segala bentuk penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.
Ia penting untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan.
Pesanan itu disampaikan menerusi khutbah Jumaat yang dibacakan di seluruh masjid di Negeri Sembilan yang bertajuk ‘Menghargai Nikmat, Menjauhi Kerosakan’.
Berdasarkan teks khutbah berkenaan, diingatkan bahawa perbuatan salah guna kuasa bukan sahaja menyebabkan hak orang lain diambil secara batil, malah menggugat kepercayaan dan merosakkan kesejahteraan yang telah dibina.
“Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada kisah kaum Madyan yang melakukan penipuan dalam timbangan dan sukatan ketika berniaga.
“Kisah kaum Madyan dalam ayat ini memberikan pengajaran bahawa nikmat kesejahteraan sesuatu umat boleh terjejas akibat ketidakjujuran dan penyelewengan,” menurut khutbah.
Justeru dinyatakan bahawa kejujuran dalam pengurusan amatlah penting bagi memastikan setiap urusan dikendalikan secara telus dan berintegriti di samping menangani gejala rasuah, salah guna kuasa serta pelbagai bentuk penyelewengan.