
KUALA LUMPUR: Semua pesawat tempur ringan, Hawk 108 dan Hawk 208, akan ditamatkan perkhidmatan secara berfasa bermula 2027, selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima dan mengoperasikan pesawat FA-50M dari Korea Selatan pada hujung tahun depan.
Penamatan operasi Hawk oleh TUDM dijangka diselesaikan sepenuhnya pada 2028, iaitu setahun selepas perkhidmatan 18 pesawat tempur FA-50M yang ketika itu sudah berada pada tahap stabil.
Panglima TUDM, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, berkata pesawat Hawk yang dibeli Malaysia pada 1994 kini berusia lebih 30 tahun, walaupun masih boleh beroperasi, tetapi secara terhad.
Beliau berkata, jika berlaku kerosakan pada pesawat terbabit, TUDM sukar mencari tempat pembaikan kerana kebanyakan sistem pesawat tempur kini beralih menggunakan teknologi baru.
Susulan itu, katanya, pembelian FA-50M dari Korea Selatan yang berteknologi tinggi itu, tepat pada masanya bagi menggantikan Hawk yang masih menggunakan sistem lama.
“Sekarang kita sudah melihat cabaran untuk menyelenggara Hawk yang berusia lebih 30 tahun, ia sudah tidak cost benefit, tetapi kita masih boleh menggunakannya secara terhad,” katanya..