Kewarganegaraan 7 Pemain Ikut Prosedur Perlembagaan

Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR: Langkah memberi kewarganegaraan melalui proses naturalisasi kepada tujuh pemain Harimau Malaya dibuat mengikut semua prosedur ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menjelaskan, ini selepas mempertimbangkan peruntukan dalam Perkara 19 dan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Seksyen 10(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 turut digunakan bagi memproses permohonan sijil kelahiran kepada tujuh pemain terbabit.

“Tujuh pemain ini mematuhi tiga rukun ditetapkan dalam Perkara 19 Perlembagaan membabitkan tempoh bermastautin, berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu.

“Saya juga menggunakan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3 Perlembagaan yang memberi kuasa budi bicara kepada menteri untuk menganggap pemohon memenuhi tempoh bermastautin walaupun baru sehari berada di negara ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai statistik pemain dinaturalisasikan sejak 2018 serta kelayakan dan kriteria digunakan kerajaan atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam proses penentuan pemain untuk dinaturalisasikan.